Wednesday 24 February 2016

Lima tabiat buruk tapi baik untuk kesihatan anda


Mungkin ramai menyangka tabiat buruk seperti menggigit kuku, tidak mandi dan tidak memberus gigi selepas makan membawa mudarat kepada kesihatan diri.
Berikut lima tabiat buruk yang memberi kesan baik kepada kesihatan manusia:
1 Menggigit kuku
Menggigit kuku adalah tabiat buruk di khalayak ramai tetapi memasukkan jari ke dalam mulut sebenarnya membantu meningkatkan sistem pertahanan badan.
“Manusia biasa menyentuh mulut mereka dan apabila kita lakukan itu, kita mengitar semula mikrob seperti bakteria dari satu bahagian badan ke bahagian lain.
“Kita terlalu takut dengan bakteria tetapi bakteria itu sahabat kita. Lebih banyak kita berhubung dengannya, lebih kebal badan kita,” kata Tim Spector, profesor kajian kulit di King’s College di sini.
2 Mengelak mandi
Tiada pakar menyarankan agar kita tidak mandi langsung tetapi mandi menggunakan air panas dan lama pula boleh menanggalkan minyak di kulit yang boleh melindungi anda.
“Keadaan kulit kering, biasanya berlaku pada orang muda dan berusia, disebabkan mandi berlebihan, menggunakan air panas dan menggunakan sabun kesat.
“Jangan bimbang jika tertinggal mandi harian – ia membantu memulihkan kulit. Jika anda mandi, pastikan ringkas, rendahkan suhu dan gunakan produk mandian yang lembut,” kata pakar kulit Dr Kannan Athreya kepada laman Medstars.co.uk.
3 Terlupa berus gigi selepas makan
Tabiat malas memberus gigi akan membuatkan orang di sekeliling anda berasa kurang selesa tetapi ia baik untuk kesihatan mulut.
“Sesetengah makanan dan minuman menggalakkan penghasilan asid di dalam mulut,” kata Dr Sameer Patel dari Klinik Elleven di di sini kepada portal itu.
“Masalah terbesar ialah buah yang mengandungi sitrus dan minuman bergas yang menyerang enamel gigi.
“Jika anda memberus gigi sebaik sahaja selepas makan, anda mungkin menolak asid itu mengalir ke lapisan dalam gigi, mempercepatkan proses hakisan.”
4 Tidak kerap cuci tangan
Tiada mudarat jika tidak mencuci tangan sebelum makan kerana ia akan menambah jumlah bakteria dan ia sesuatu yang positif, profesor Spector dilaporkan berkata.
“Jelaslah, seorang tukang masak mesti mencuci tangan sebelum menyediakan makanan tetapi sedikit kotoran di jari semasa makan tidak akan membunuh anda.
“Kita semua obses dengan kebersihan tetapi sebenarnya banyak ahli mikrobiologi yang saya kenal tidak mencuci tangan di tandas awam kerana mereka percaya lebih mudah terkena jangkitan dari sinki yang kotor daripada kuman di tangan mereka,” katanya.
5 Mengelak pembasmi kuman
Prof Spector juga berkata iklan sering mengingatkan agar semua kuman perlu dibasmi tetapi mereka lupa manusia tidak tinggal di persekitaran yang 100 peratus bersih.
Katanya, pembasmi kuman harus digunakan oleh mereka yang menyediakan makanan di atas kapal atau di hospital.
“Menggunakan pembasmi kuman, anda menggantikan mikrob berharga dengan bahan kimia yang boleh menyebabkan alahan dan melemahkan sistem kekebalan badan.
“Kanak-kanak bawah tiga tahun perlu pelbagai bakteria dalam badan mereka. Kajian menunjukkan mereka yang kurang pelbagai jenis mikrob lebih risiko menghidap kencing manis dan masalah berat badan,” katanya seperti dilaporkan Daily Mirror semalam.

No comments:

Post a Comment