Tuesday, 23 February 2016

Bangkit Aura Pengantin Dengan Haruman Sesuai

perfume

Wanita dan wangian memang sukar dipisahkan. Lebih-lebih lagi menjelang hari bahagia sedikit sebanyak mewujudkan aura pesona. Pemilihan wangian yang melekap di tubuh atau memakai haruman bukan sahaja memberi kesan sepanjang hari. Ketahuilah cara memilih haruman yang sesuai dan mampu menonjolkan personaliti diri.
– Ambil peluang cuba sampel haruman
Ketika mencari-cari alat kelengkapan perkahwinan, anda disapa oleh jurujual untuk mencuba sampel minyak wangi terbaru yang disembur di atas kertas khas. Anda pula baru sahaja mencuba lebih dari tiga botol minyak wangi di beberapa buah kedai sehingga agak sukar untuk menerima bauan lain. Cara terbaik ialah minta untuk disemburkan pada pergelangan tangan tetapi jangan digosok serta merta kerana ia boleh menghasilkan bau yang pelik dan mengubah bau pewangi.
Tip:
Kalau boleh hadkan pada tiga jenis haruman setiap kali mencuba pewangi. Ini untuk mengelakkan dari terjadinya kelemahan rangsangan apabila menghidu. Anda juga boleh menghidu kopi untuk meneutralkan kembali rangsangan.
– Jangan malas untuk minta pendapat
Biasanya wanita akan membawa ahli keluarga atau rakan ketika membeli belah. Kalau boleh mintalah pandangan mereka sebaik-baiknya wanita, mengenai minyak wangi yang sesuai kerana mereka lebih prihatin dan memahami apa yang dimahukan wanita. Biasanya rakan akan memberikan pandangan berbeza mengenai apa yang sesuai dengan personaliti.
Tip:
Elakkan memilih minyak wangi yang terlalu keras supaya tetamu tidak naik pening. Pastikan anda pilih minyak wangi beraroma segar untuk kekal wangi sepanjang majlis.
– Pilih haruman ikut masa dan keadaan
Pilih haruman mengikut masa serta acara yang akan diraikan. Sebagai contoh, ada minyak wangi sesuai ketika menghadiri majlis bersanding atau berinai, tetapi tidak sesuai dibawa untuk majlis khatam Quran. Begitu juga ketika pertemuan yang menjadi detik terindah pasangan. Haruman yang sesuai pastinya mempunyai aroma yang kuat bagi membangkitkan emosi cinta dan sayang terhadap pasangan.
Tip:
Menyembur minyak wangi pada belahan coli juga dikatakan mampu menyimpan aroma dan dilepaskan secara berterusan untuk kekal lebih lama.
– Ikut biologi tubuh sendiri, bukan tubuh orang lain
Haruman memikat yang dipakai teman sedikit sebanyak mengundang rasa cemburu untuk membeli minyak wangi yang sama. Ketahuilah sebenarnya membeli minyak wangi yang digunakan oleh orang lain tidak digalakkan. Mungkin anda suka bau di badan rakan anda, tetapi tidak semestinya ini sesuai dipakai oleh anda kerana kimia dalam tubuh badan dan personaliti setiap orang berbeza.
Tip:
Jika anda seorang yang cergas dan mahukan kesegaran walaupun dalam keadaan cuaca yang panas, wangian yang paling sesuai ialah seperti ‘bergamot’, ‘orange’, lemon dan ‘petitgrain’, manakala jika mahukan wangian yang menonjol dan rasa sensual terutama di malam hari, pilihlah wangian dari bahan utamanya terdiri dari rempah, pati kayu dan vanila.
Biar apapun pilihan haruman, ia haruslah berdasarkan cita rasa dan identiti diri. Kalau boleh pastikan minyak wangi yang digunakan sesuai dengan acara dihadiri. Usah menyimpan minyak wangi hingga tempoh tiga tahun dari jangka hayat penggunaannya.

No comments:

Post a Comment